Usul tersebut kecundang selepas gagal mendapatkan majoriti dua pertiga.

Haley, yang akan berundur daripada jawatannya hujung tahun ini, berulang kali menuduh PBB berat sebelah dan anti-Israel serta mempertahankan rejim Zionis dalam konfrontasi terbaharunya dengan Hamas, pergerakan Islam yang meme­rintah Genting Gaza sejak tahun 2007.

Usul tersebut merupakan resolusi pertama mengecam Hamas yang dibentangkan pada perhimpunan 193 negara anggota PBB yang bersidang sejak tahun 1946 lagi.

Bercakap menjelang sesi pengundian, Haley berkata, resolusi itu akan memperbetulkan sejarah yang salah dan menjadikan Perhimpunan Agung berada di pihak yang benar dalam usaha mencapai keamanan di Asia Barat.

Dalam pada itu, Hamas memuji keputusan pengundian tersebut dan menyifatkannya sebagai tamparan terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump yang mengambil pendirian tegas pro-Israel dalam menangani usaha damai Asia Barat.

“Kegagalan usaha AS di PBB merupakan tamparan terhadap pentadbiran Trump dan pengesahan kepada perjuangan Hamas,” kata jurucakap pergerakan itu, Sami Abu Zahri di laman Twitter.

Di pihak Israel, dutanya, Danny Danon mendakwa bahawa resolusi itu telah disabotaj dan memuji sokongan luas masyarakat dunia yang mengecam Hamas.

Kuwait yang mewakili negara-negara Arab telah meminta Perhimpunan Agung PBB supaya menetapkan majoriti dua pertiga untuk resolusi tersebut.

Resolusi itu disokong 75 negara termasuk anggota Kesatuan Eropah dengan 72 negara menentang dan 26 lagi tidak mengundi. – AFP