Undang-undang itu mengharamkan senjata api separa automatik gaya tentera, kurang sebulan selepas seorang pengganas kulit putih membunuh 50 jemaah di dua buah masjid di Christchurch.

Gabenor Jeneral, Patsy Reddy menandatangani rang undang-undang itu lewat semalam, manakala ia mula berkuat kuasa pada waktu tengah malam.

Undang-undang baharu itu bertujuan melupuskan senjata api separa automatik daripada edaran menerusi skim pembe­lian balik, pengharaman dan hukuman penjara.

Ia mengharamkan senjata api separa automatik, kelopak peluru dan komponen yang boleh digunakan untuk menghasilkan senjata api terlarang.

Dalam pada itu, polis New Zealand memulakan persiapan untuk melancarkan skim pembe­lian balik besar-besaran dan mengumumkan bahawa tempoh pengampunan kepada pemilik senjata api haram sudah bermula.

Pihak berkuasa turut menyiarkan senarai senjata api yang dilarang dan meminta pemilik-pemiliknya supaya menghubungi polis.

“Kami meminta orang ramai supaya bersabar sementara kami memuktamadkan proses pembelian balik secara besar-besaran, proses pengecualian dan pampasan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Michael Clement kepada pemberita.

Menurutnya, program pengampunan itu akan dilaksanakan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan melindungi pemilik senjata api yang ‘berniat baik’.

Bagaimanapun, mereka yang melanggar undang-undang baharu itu akan berdepan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun.

Anggota-anggota Parlimen hampir sebulat suara meluluskan rang undang-undang senjata api baharu itu pada Rabu lepas.

Tentangan terhadap rang undang-undang itu datang daripada Parti ACT yang hanya menduduki satu kerusi daripada 120 kerusi Parlimen New Zealand. – AFP