Ular tedung jenis monocled itu ditemui di laluan masuk ke tingkat bawah sebuah kediaman sebelum pakar ular dipanggil dan menangkap reptilia itu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Ular Asia dengan ukuran hampir satu meter panjang itu melepaskan diri daripada kurungan pada Ahad lalu, menimbulkan panik dalam kalangan penduduk setempat di barat bandar Herne.

Sebanyak empat buah rumah terpaksa dikosongkan sementara waktu dan penghuninya diminta menutup tingkap-tingkap kediaman serta menjauhi diri daripada kawasan rumput panjang serta lokasi padat tumbuhan.

Perkhidmatan kecemasan cuba menjejaki ular berkenaan dengan menabur tepung di dalam bangunan yang dikawal dengan harapan ia me­ninggalkan jejak.

Semasa pencarian dilakukan, kakitangan perubatan berada dalam keadaan bersedia dengan ubat penawar racun ular.

Pemilik reptilia itu dilaporkan turut memelihara kira-kira 20 ekor ular spesies lain, dan semuanya dirampas sejak insiden berkenaan berlaku. – AFP