Suhu sejuk beku meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa di seluruh benua itu sejak beberapa hari lalu dengan kebimbangan tertumpu kepada komuniti gelandangan.

Udara sejuk Artik yang dinamakan oleh akhbar-akhbar Britain sebagai ‘Raksasa dari Timur’ itu melanda dari Rusia, mengakibatkan gangguan perjalanan meluas dengan sejumlah sekolah ditutup.

Fenomena cuaca itu menyebabkan salji turun di ibu kota Itali, Rom kelmarin, kali pertama dalam tempoh enam tahun.

Perkhidmatan Meteorologi Itali berkata, suhu turun serendah - 4 Celsius awal pagi semalam.

Di Poland, sekurang-kurangnya dua orang maut selepas terdedah kepada suhu sejuk ekstrem -12 Celsius Sabtu lalu, manakala beberapa bahagian di Lithuania menyaksikan suhu di bawah paras - 20 Celsius.

Suhu di Perancis diramalkan jatuh di bawah paras beku untuk beberapa hari akan datang.

Pada Ahad lalu, seorang gelandangan lelaki berumur 35 tahun ditemui mati di bandar Valence, tenggara Penrancis dan dua hari sebelumnya, seorang lelaki berusia 62 tahun mati di dalam kabinnya di sebuah hutan di luar Paris.

Di Belgium, seorang datuk bandar di kawasan perbandaran Brussels mengarahkan kumpulan gelandangan ditahan jika mereka enggan berpindah ke pusat perlindungan sementara ekoran cuaca ekstrem itu.

Di Berlin, pihak berkuasa tempatan menyatakan bahawa pusat-pusat perlindungan untuk gelandangan mencecah kapasiti 95 peratus ketika suhu -20 Celsius direkodkan beberapa bahagian di Jerman.

Cuaca sejuk turut menyebabkan gangguan di Belanda manakala di Croatia, salji tebal memaksa pihak berkuasa menutup beberapa lebuh raya. – AFP