TRUMP
TRUMP

“Rusia berjanji akan memintas mana-mana dan semua peluru berpandu yang dibedil ke arah Syria. (Namun), bersedialah Rusia kerana misil AS akan datang, bagus, baharu dan pintar! Kamu tidak patut bersekutu dengan Binatang Gas Pembunuh (Bashar) yang membunuh rakyatnya sendiri dan menyukainya,” kata Trump di laman Twitter.

Trump mengeluarkan amaran keras itu sehari selepas Rusia menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi AS di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya menubuhkan sebuah panel bagi mengenal pasti pelaku serangan gas toksik pada Sabtu lalu di Douma, dekat ibu kota Syria, Damsyik.

Rusia mengatakan bahawa pakar-pakar tenteranya tidak menemui bukti serangan senjata kimia dan menuduh pemberontak yang melancarkan serangan itu ataupun mereka menyebarkan khabar angin me­ngenainya untuk menyalahkan Damsyik.

PUTIN
PUTIN

Kelmarin, Duta Rusia ke Lebanon, Ale­x­ander Zasypkin memberi amaran bahawa serangan peluru berpandu AS yang menyasarkan Rusia akan ditembak jatuh, manakala tempat pelancarannya akan dimusnahkan.

Zasypkin dalam komennya yang disiarkan petang kelmarin menyatakan bahawa beliau mengulangi kenyataan keras Presiden Vladimir Putin dan komander tentera Rusia.

“Sekiranya terdapat serangan oleh AS, misil itu akan ditembak jatuh, malah sumber peluru berpandu itu juga akan dimusnahkan,” kata Zasypkin dalam wawancara dengan stesen televisyen rangkaian Hizbullah, Al-Manar TV. – AFP/Agensi