Kegagalan itu mengakibatkan kerajaan AS tidak dapat membayar gaji penjawat awam.

Ketika jarum jam menunjukkan tepat pukul 12 malam pada Jumaat lalu, para senator masih merundingkan langkah tersebut, namun pejabat Trump segera mengeluarkan kenyataan menyalahkan pembangkang, Parti Demokrat sebagai punca krisis berlaku.

Setiausaha Akhbar Trump, Sarah Sanders berkata, wakil-wakil rakyat Demokrat mahu lanjutan belanjawan itu turut melindungi 700,000 pendatang asing yang tiba di AS semasa kanak-kanak dikenali sebagai ‘Dreamers’, mengakibatkan persetujuan gagal dicapai.

“Senator-senator Demokrat menjadi punca kepada Penutupan Schumer itu,” kata Sanders, merujuk kepada Chuck Schumer daripada Parti Demokrat yang merupakan ketua minoriti Senat.

“Mereka meletakkan politik lebih penting daripada keselamatan negara, keluarga anggota tentera dan keupayaan kerajaan untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat AS.

“Kita tidak akan merundingkan status pendatang asing (Dreamers) ketika wakil-wakil rakyat Demokrat menjadikan warganegara AS yang sah sebagai tebusan bagi memenuhi tuntutan tidak munasabah mereka,” ujarnya.

Sepanjang tempoh penutupan kerajaan itu, perkhidmatan persekutuan dan operasi tentera AS yang dianggap penting akan diteruskan tetapi ribuan kakitangan kerajaan tidak akan bekerja sehingga krisis itu selesai.

Sementara itu, wakil-wakil rakyat AS melancarkan usaha terakhir semalam untuk menamatkan krisis tersebut sebelum ratusan ribu penjawat awam terpaksa bercuti tanpa gaji mulai hari ini.

Impak penutupan yang bermula tengah malam Jumaat lalu itu masih terhad dengan beberapa tempat seperti tugu Statue of Liberty di New York ditutup.

Namun, kesannya akan lebih serius jika krisis itu berterusan.

Wakil rakyat parti pemerintah, Parti Republikan dan Demokrat berperang mulut mengenai siapa yang perlu dipersalahkan berhubung kegagalan melanjutkan bajet itu menjelang tarikh akhir 20 Januari 2018.

Senator kanan Republikan, Mitch McConnell menetapkan sesi pengundian baharu diadakan pada pukul 1 pagi tadi (waktu tempatan).

“Sesi pengundian semula akan diadakan pada pukul 1 pagi Isnin, melainkan terdapat usaha untuk mengadakannya lebih awal,” kata McConnell dalam satu kenyataan.

Kerajaan AS ditutup sebanyak empat kali sejak tahun 1990.

Ketika kali terakhir ia ditutup dalam tahun 2013, lebih 800,000 penjawat awam telah diarahkan bercuti sementara.

“Kini, ia berulang lagi. Kami perlu tunggu dan lihat,” kata seorang penjawat awam berumur 50 tahun yang terjejas, Noelle Joll.

Penutupan kerajaan pada Jumaat lalu berlaku ketika Parti Republikan hanya mempunyai majoriti satu kerusi di Senat dan perlu meraih sokongan senator-senator Parti Demokrat untuk mendapatkan majoriti 60 undi bagi meluluskan langkah itu.

Pengundian pada Jumaat lalu gagal kerana Parti Republikan kekurangan 10 undi.

Usul itu dibentangkan di Senat bagi membolehkan Kongres melanjutkan peruntukan kerajaan persekutuan sehingga 16 Februari depan dan menguatkuasakan semula program insurans untuk kanak-kanak miskin selama enam tahun lagi, kedua-duanya merupakan objektif Parti Demokrat.

Namun, ia tidak menyentuh mengenai golongan ‘Dreamers’­ yang dilindungi melalui program Tindakan Tertangguh Ketibaan Kanak-Kanak (DACA) anjuran Presiden sebelum ini, Barack Obama.

Perlindungan DACA yang akan tamat pada 5 Mac depan adalah antara matlamat yang diperjuangkan oleh barisan pemimpin Parti Demokrat. 
– AFP