“Dunia mengambil langkah besar keluar daripada potensi malapetaka nuklear,” kata Trump menerusi ke­nyataan di laman Twitter.

“Tiada lagi pelancaran roket, ujian ataupun penyelidikan nuklear. Terima kasih Pengerusi Jong-un, hari kita bersama adalah bersejarah!” tambahnya.

Trump dan Jong-un bertemu di Singapura kelmarin. Pada pertemuan tersebut, Trump memberikan penekanan tentang manfaat yang bakal diperoleh Korea Utara dengan melucutkan senjata nuklearnya dan kembali menyertai masyarakat antarabangsa sebelum mengulangi topik sama di Twitter.

“Tiada batasan kepada apa yang mampu dicapai oleh Korea Utara apabila ia melucutkan senjata nuklearnya dan menerima perdagangan serta kembali kepada masyarakat dunia. Jong-un mempunyai peluang untuk diingati sebagai pemimpin yang membuka era kemakmuran dan keselamatan untuk rakyatnya,” kata Trump.

Terdahulu, beliau mengesahkan bahawa AS tidak akan mengadakan latihan tentera bersama Korea Selatan sementara jirannya, Korea Utara me­rundingkan perlucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

“Kami tidak akan mengadakan latihan tentera selagi kami berun­ding secara jujur,” kata Trump kepada saluran berita Fox News dalam satu wawancara di Singapura selepas sidang kemuncak tersebut. – AFP