Beberapa pegawai kanan Whites House berkata, bajet Trump yang dijadualkan diumum lewat semalam turut termasuk sejumlah AS$200 bilion (RM791.36 bilion) bagi projek membaiki jalan, jambatan dan infrastruktur lain di samping peruntukan AS$23 bilion (RM91 bilion) untuk keselamatan sempadan serta penguatkuasaan imigresen.

Di bawah cadangan White House, kerajaan negeri dan pelabur swasta pula akan menyumbang baki AS$1.3 trilion (RM5.14 trilion) lagi.

White House menambah, bajet Trump itu bagaimanapun turut mencadangkan pemotongan perbelanjaan yang akan mengurangkan defisit negara sebanyak AS$3 trilion (RM11.87 trilion) dalam tempoh 10 tahun.

Trump menjadikan pembaikan infra­struktur AS sebagai janji utama kempen politik beliau dan telah mengumumkan pelan prasarana berjumlah AS$1.5 trilion itu semasa ucapan tahunannya, bulan lalu.

Permintaan Trump itu akan diserahkan kepada Kongres beberapa hari selepas beliau menandatangani persetujuan perbelanjaan yang dibentangkan oleh wa­kil-wakil rakyat bagi meningkatkan perbelanjaan domestik sebanyak AS$300 bilion (RM1.18trilion) dalam masa dua tahun, termasuk AS$165 bilion (RM652.87 bilion) untuk pertahanan negara dan AS$131 bilion (RM518.34 bilion) bagi per­belanjaan tempatan lain.

Pakar-pakar sebelum ini memberi amaran bahawa sistem jalan raya, landasan kereta api dan trafik yang uzur mengakibatkan ekonomi AS rugi besar.

Menurut jurutera awam, Henry Petroski, kesesakan lalu lintas sahaja mendatang­kan kerugian AS$120 bilion (RM474.82 bilion) setahun kepada AS.

Pentadbiran Trump semalam memberikan butiran lebih terperinci tentang projek mega itu.

“Infrastruktur jelas merupakan komponen kritikal dalam memastikan ekonomi kita berfungsi. Banyak kejayaan AS adalah hasil daripada kualiti infrastruktur yang kita ada,” kata seorang pegawai kanan White House.

Projek membaik pulih infrastruktur AS itu dijangka mengambil masa 10 tahun.

Kongres akan membincangkan projek infrastruktur itu, manakala Trump akan me­nemui wakil rakyat daripada kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang esok untuk menerangkan tentang rancangannya. 
– AFP