Bekas peguam Trump, Michael Cohen memberitahu hakim persekutuan pada Selasa lalu bahawa dia membuat pembayaran untuk menutup mulut dua wanita yang mendakwa mereka menjalin hubungan sulit dengan Trump atas permintaan Presiden AS itu.

Kenyataan Cohen itu dibuat pada hari penuh drama dan memeningkan kepala Trump apabila bekas pengurus kempen politiknya, Paul Manafort didapati bersalah atas dakwaan penipuan bank dan cukai.

Perbicaraan tersebut susulan siasatan diketuai pendakwa raya khas, Ro­bert Mueller berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.

Bagaimanapun, Trump yakin bahawa beliau akan dapat mengatasi skandal politik terbaharu itu.

Selepas menuduh Cohen sengaja mereka cerita bagi mengurangkan hukuman terhadap dirinya, Trump kemudian mengeluarkan kenyataan di Twitter bahawa tindakan bekas peguamnya itu bukan ‘satu jenayah’, malah menurutnya semasa menghadiri program bual bicara, Fox and Friends, pembayaran tersebut juga tidak menyalahi peraturan kempen pilihan raya.

Dalam wawancara sama, Trump berkata, pembayaran sulit itu dibuat menggunakan wangnya sendiri yang boleh diakses oleh Cohen.

Bayaran itu dibuat kepada bintang filem lucah, Stormy Daniels dan model Playboy, Karen McDougal. – AFP