Langkah Washington itu mencetuskan tindak balas serta-merta oleh China.

“Tarif atau cukai import ini penting bagi menghalang pemindahan teknologi dan harta intelek AS lain kepada China dan untuk melindungi pekerja AS,” kata Trump.

Namun, pada peringkat awal, tarif baharu yang dikenakan itu tidak akan meliputi nilai penuh AS$50 bilion (RM199 bilion) seperti yang diumumkan oleh Trump pada Jumaat lalu.

Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer berkata, cukai tersebut dikenakan ke atas 818 produk China bernilai AS$34 bilion (RM135.8 bilion) mulai 6 Julai depan, manakala senarai kedua barangan berjumlah AS$16 bilion (RM63.9 bilion) akan dipertimbangkan kemudian, menjadikan keseluruhannya berjumlah AS$50 bilion.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat China dijangka meminta pengecualian menjadikan angka muktamad kurang daripada AS$50 bilion.

Tindak balas serupa oleh China menyaksikan Beijing mengenakan tarif ke atas 545 eksport AS bernilai AS$34 bilion, juga mulai 6 Julai depan termasuk produk pertanian dan kenderaan.

Menurut agensi berita Xinhua, sejumlah 114 barangan AS lain akan dikenakan tarif kemudian.

Dalam pada itu, impak perang perdagangan dua kuasa ekonomi itu membimbangkan petani AS, golongan yang bakal terjejas teruk berikutan China merupakan pengimport terbesar kacang soya negara itu.

Keputusan Trump melaksana­kan tarif berkenaan menjadikan semua rundingan dan persetujuan perdagangan antara kedua-dua negara sebelum ini tidak lagi terpakai. -–AFP