Petikan daripada buku berjudul Fear: Trump In The White House yang ditulis oleh wartawan terkenal, Bob Woodward itu disiarkan dalam akhbar Washington Post kelmarin. Buku tersebut yang dijadualkan berada di pasaran pada 11 September ini adalah yang terbaharu mendedahkan tentang ketegangan di White House sepanjang 20 bulan Trump mengambil alih pentadbiran negara.

“Ia hanya sebuah lagi buku yang teruk,” kata Trump kepada portal berita Daily Caller ketika mengulas mengenai penerbitan tersebut.

Presiden daripada Parti Republikan itu berkata di laman Twitter bahawa petikan dalam buku itu yang mengaitkannya dengan Setiausaha Pertahanan, James Mattis, Ketua Staf White House, John Kelly dan beberapa penasihat lain sebagai satu penipuan.

Menurut buku tersebut, Trump memberitahu Mattis bahawa beliau mahu Bashar dibunuh selepas Presiden Syria itu menggunakan senjata kimia terhadap penduduk awam pada April 2017.

Mattis memberitahu Trump bahawa beliau akan menurut arahan itu, namun sebaliknya mengarahkan serangan udara terhad yang tidak mengancam nyawa Bashar.

Mattis juga didakwa memberitahu rakan-rakannya bahawa Trump berkelakuan seperti ‘seorang budak sekolah rendah’, demikian menurut buku tersebut.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan balas kelmarin, Mattis menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau pernah menge­luarkan kata-kata yang menghina Trump. – Reuters