“Sistem kami sudah penuh dan sudah tidak boleh menerima kehadiran kamu semua. Negara kami sudah penuh. Jadi, berpatah balik sajalah kerana itulah keadaannya sekarang,” katanya ketika satu mesyuarat dengan pegawai peronda sempadan dan agensi penguatkuasa lain di sini.

Tidak lama selepas itu, Trump menyatakan imigran haram sebelum ini ‘melimpah’ masuk ke AS ketika melawat satu bahagian dinding sempadan baru yang diubah suai, sesuatu yang beliau ingin laksanakan di sepanjang dinding sempadan AS-Mexico.

Lawatan ke California itu menyusul selepas Trump menarik balik amaran untuk menutup pintu sempadan sehingga menimbulkan keresahan berlakunya kerosakan teruk kepada ekonomi AS.

Walau bagaimanapun, Trump melihat kempennya menentang satu ‘krisis’ di sempadan kedua-dua negara itu sebagai kunci kemenangan pilihan raya pada tahun hadapan dengan masa yang dihabiskan di Calexico adalah untuk memastikan mesej tersebut terus mendapat perhatian ramai.

Bilangan imigran dan pemohon suaka yang melarikan diri daripada keganasan di negara-negara Amerika Tengah telah meningkat dengan mendadak baru-baru ini, namun terdapat perbezaan politik besar dalam melabel situasi itu sebagai satu ‘darurat’ seperti yang diumumkan Trump.

Sekitar 200 penunjuk perasaan yang membawa belon-belon besar menggambarkan Trump sebagai bayi turut menunggu kehadiran Presiden AS itu di pekan Mexicali di sebalik dinding sempadan sebelah Mexico.

Sambil mengibarkan bendera AS dan Mexico, penunjuk perasaan turut membawa sepanduk dengan mesej seperti ‘Berhenti pisahkan ahli keluarga’ dan ‘Jika kamu bina dinding itu, generasi kami akan runtuhkannya’.

Di sebelah sempadan AS pula, berpuluh-puluh orang beratur di sepanjang jalan yang dilalui Trump tetapi bagi menyokong polisinya dengan ada yang memegang sepanduk ‘Bina dinding itu’.

Sebelum meninggalkan Washington awal pagi kelmarin, Trump mendakwa ancaman yang dibuatnya sebelum ini untuk menutup sempadan AS-Mexico telah berjaya mendorong pihak berkuasa Mexico untuk mengetatkan penguatkuasaan dengan menghalang imigran dalam perjalanan ke AS. – AFP