Trump duduk bersama senator dan ahli kongres di White House kelmarin untuk membincangkan rombakan dasar imigresen yang boleh diterima oleh kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang.

Mesyuarat itu antara lain mencadangkan supaya imigran dilarang daripada membawa ahli keluarga mereka ke AS dan mengehadkan visa kad hijau dan sebagai pertukaran, pentadbiran Trump pula akan bersetuju melindungi ratusan ribu pendatang tanpa izin muda atau dikenali sebagai Dreamers daripada diusir keluar.

“Mengapa kita mempunyai semua orang dari negara lubang najis datang ke sini? kata Trump menurut mereka yang hadir pada mesyuarat berkenaan kepada akhbar Washington Post.

Beliau merujuk kepada negara-negara Afrika dan Haiti dan mencadangkan supaya AS hanya mene­rima imigran dari negara Eropah seperti Norway.

Komen itu mengejutkan mereka yang hadir pada pertemuan tersebut.

Senator Lindsey Graham daripada Parti Republikan yang memerintah dan Senator Parti Demokrat, Dick Durbin datang ke White House untuk bersetuju bertolak ansur tetapi mendapati mereka dikelilingi di dalam bilik mesyuarat oleh pe­mimpin-pemimpin fanatik Republikan.

Graham dam Durbin mengetuai usaha untuk melindungi Dreamers, imigran yang masuk secara haram ke AS semasa kanak-kanak.

Dasar tolak ansur itu dilaporkan akan memotong 50 peratus pemberian visa loteri kepada imigran dengan mengutamakan negara pilihan White House berbanding menamatkannya seperti permintaan pemimpin Republikan.

Trump dan wakil-wakil rakyat AS kini dalam proses merundingkan cara untuk melindungi imigran Dreamers daripada diusir keluar.

Tahun lalu, beliau memansuhkan program era Presiden sebelumnya, Barack Obama dikenali sebagai Tindakan Tertangguh Ketibaan Kanak-kanak (DACA) yang melindungi imigran berkenaan.

Trump sebaliknya menetapkan tarikh akhir 5 Mac depan untuk Kongres menyelesaikan kemelut tersebut. – AFP