“Pengumuman Trump mengenai Baitulmuqaddis mempunyai potensi impak yang amat membimbangkan. Ia adalah konteks yang amat rapuh dan berisiko membawa kita ke belakang ke zaman lebih gelap berbanding era kehidupan yang kita jalani sekarang,” kata Mogherini pada satu sidang akhbar di Brussels.

Langkah Trump yang mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan kuasa antarabangsa lain telah mengubah pendirian samar-samar AS sepanjang tujuh dekad berhubung status kota suci itu yang dituntut oleh Palestin dan Israel.

Kementerian Luar Israel menyifatkan pendirian Mogherini sebagai ‘pelik’ dan menambah: “Sebarang penafian tentang kebenaran ini (Baitulmuqaddis ibu kota Israel) akan melengahkan keamanan kerana ia memupuk harapan tidak realistik dalam kalangan warga Palestin. Trump membuat keputusan yang berani dan adil demi keamanan dengan mengesahkan kebenaran ini.”

EU sudah lama menyokong penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik Israel-Palestin dan Mogherini berkata, 28 negara anggota blok EU akan meneruskan kerjasama dengan kedua-dua pihak di samping Mesir dan Jordan untuk menghidupkan semula perbincangan damai secara langsung antara kedua-dua belah pihak.

Mogherini yang menemui Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi di Brussels semalam dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin lalu berkata, demonstrasi bagi membantah keputusan Trump itu perlu diadakan secara aman.

Di Moscow pula, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatannya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran bahawa keputusan Trump termasuk rancangan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis akan menggugat keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat, demikian menurut satu kenyataan rasmi.

Merujuk kepada kenyataan rasmi bersama mereka yang disiarkan di laman web Presiden Rusia kelmarin, agensi berita Xinhua melaporkan bahawa kedua-dua pemimpin itu melahirkan kebimbangan serius mengenai perkembangan terbaharu di Baitulmuqaddis dalam satu perbualan telefon. – AFP/Bernama