Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain melancarkan 105 peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan disyaki gas beracun di Syria seminggu lalu.

Bedilan peluru berpandu itu menyasarkan tiga kemudahan senjata kimia termasuk sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan senjata maut itu di daerah Barzeh, Damsyik, serta dua kemudahan kimia dekat Homs.

Negara-negara Barat menyatakan bahawa serangan itu bertujuan menghalang lebih banyak serangan senjata kimia oleh tentera Syria selepas serangan disyaki gas beracun di Douma pada 7 April lalu yang menyebabkan lebih 75 orang terbunuh.

Barat mendakwa kerajaan pimpinan Bashar bertanggungjawab melakukan pembunuhan kejam itu.

Pengeboman kelmarin merupakan campur tangan terbesar oleh negara-negara Barat terhadap Bashar dan sekutunya, Rusia tetapi AS, Britain serta Perancis menyatakan bahawa serangan mi­sil itu hanya mengekang keupayaan senjata kimia Syria dan bukan bertujuan unmenggulingkan Bashar atau campur tangan dalam perang saudara di negara itu.

Belum ada laporan mengenai kematian akibat serangan itu semalam.

Serangan udara itu yang dikecam Damsyik dan sekutunya sebagai kekerasan menyalahi undang-undang, tidak akan mengubah haluan perang saudara di Syria yang telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 500,000 orang terbunuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Donald Trump menyifatkan operasi itu sebagai berjaya.

“Misi berjaya,” kata Trump di laman Twitter, mengulangi ayat sama yang diucapkan oleh Presi­den George W. Bush pada tahun 2003 bagi menggambarkan serangan AS ke atas Iraq.

“Kami yakin bahawa dengan menyerang Barzeh khususnya, kami menye­rang pusat program senjata kimia Syria,” kata Leftenan Jeneral AS, Kenneth F. McKenzie di Pentagon.

Bagaimanapun, McKenzie mengakui beliau tidak dapat memberi jaminan Syria tidak mampu me­lancarkan serangan kimia pada masa akan datang. – Reuters