Pasukan penyiasat bebas PBB dalam satu laporan bulan lalu menyatakan bahawa terdapat bukti berlaku rancangan penghapusan etnik oleh tentera terhadap orang-orang Rohingya serta jenayah kemanusiaan dan perang.

Penyiasat menamakan enam jeneral termasuk ketua komander yang dikatakan perlu diseret ke muka pengadilan.

Setahun lalu, tentera kerajaan mengetuai satu tindakan keras yang ganas di negeri Rakhine di Myanmar sebagai tindak balas serangan Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) ke atas 30 pos polis dan kem tentera.

Berikutan tindakan itu, kira-kira 700,000 Rohingya melarikan diri daripada kekejaman dan kebanyakannya kini tinggal di kem-kem pelarian di negara jiran, Bangladesh.

Bachelet dalam ucapan pertamanya di Majlis Hak Asasi Manusia sejak mengambil alih pejabat itu pada 1 September lalu berkata, serangan dan penganiayaan berterusan muncul di negeri Rakhine.

Penyiasat juga menemui petunjuk pembunuhan, penyeksaan dan keganasan seksual terhadap kaum minoriti di negeri Kachin dan Shan, katanya.

“Kekerasan corak keganasan ini menunjukkan keseluruhan tindakan sewenang-wenangnya dilakukan pasukan keselamatan Myanmar,” kata Bachelet di hadapan delegasi 47 negara anggota Forum Geneva dalam sesi yang diadakan selama tiga m­inggu itu.

Beliau turut mengalu-alukan satu keputusan oleh pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) minggu lalu bahawa penjuriannya terhadap tuduhan pengusiran Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh mempunyai kemungkinan berlaku jenayah kemanusiaan.

“Ini merupakan satu langkah yang sangat penting untuk menghentikan kekebalan dan menangani penderitaan yang sangat besar terhadap orang Rohingya.

“Saya mendesak agar majlis meluluskan satu resolusi dan merujuk perkara ini kepada Perhimpunan Agung PBB untuk pengesahan supaya mekanisme ini dapat diwujudkan,” tegasnya. – REUTERS