Beberapa pegawai berkata, mereka yang cedera akibat ditanduk lembu terdiri daripada dua rakyat Amerika Syarikat, masing-masing berumur 23 dan 46 tahun serta seorang warga tempatan.

Dua mangsa lain dibawa ke hospital kerana kecederaan pada kepala manakala seramai 48 orang lagi dirawat oleh Palang Merah.

Larian seterusnya akan diadakan pada setiap pagi melalui jalan-jalan sempit di bandar Pamplona, utara Sepanyol sehingga Ahad ini.

Mereka yang mengambil bahagian kebanyakannya memakai pakaian putih bersama skarf berwarna merah.

Sebanyak enam ekor lembu jantan dilepaskan pada setiap hari pada festival tersebut bersama sejumlah lembu lain. Haiwan itu akan berlawan dengan matador profesional di gelanggang lawan lembu selepas ini.

Kecederaan dalam acara itu adalah sesuatu yang biasa dengan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh ketika menyertainya sejak tahun 1910.

Mangsa terakhir, Daniel Jimeno Romero meninggal dunia selepas ditanduk pada bahagian leher semasa menyertai larian keempat festival itu pada tahun 2009. – Agensi