Abdelkhaleq dan Abdelrahim lahir di luar Sanaa sekitar dua minggu lalu, manakala mereka berkongsi ginjal dan sepasang kaki tetapi mempunyai jantung serta paru-paru berasingan.

Ketua unit pediatrik Hospital Al-Thawra di Sanaa, Dr Faisal Al-Babili berkata, jabatannya kurang peralatan untuk me­rawat atau memisahkan bayi kembar Siam baru lahir itu dan merayu komuniti antarabangsa agar menghulurkan bantuan.

Pemberontak Houthi yang berperang dengan kerajaan disokong Arab Saudi sejak tahun 2014, menyalahkan pakatan tentera diterajui Riyadh berhubung kematian kembar Siam itu.

Riyadh dituduh enggan membuka lapangan terbang di Sa­naa bagi membolehkan mereka berlepas untuk mendapatkan rawatan di luar negara, demikian menurut pemberontak Houthi dalam satu kenyataan kelmarin.

Pada Rabu lepas, ketua Pusat Bantuan Raja Salman, Abdullah Al-Rabeeah bagaimanapun berkata, beliau mempunyai sebuah pasukan yang bersedia memisahkan Abdelkhaleq dan Abdelrahim.

Kawasan yang dikuasai militia Houthi di Yemen berada di bawah sekatan pakatan Arab Saudi sejak Riyadh campur tangan untuk mengembalikan pemerintahan Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi pada Mac 2015.

Perkhidmatan kesihatan di Yemen musnah dengan keba­nyakan hospital tiada kelengkapan untuk memberikan rawatan lanjut bagi penyakit atau simptom sukar.

Penduduk juga berdepan masalah logistik untuk pergi ke hospital.

Pakatan Arab Saudi menyekat penerbangan keluar masuk di lapangan terbang Sanaa bagi menghalang bekalan senjata kepada puak Houthi.

Sejak tahun 2015, seramai 10,000 orang terbunuh dan lebih 60,000 yang lain keba­nyakannya orang awam, cedera dalam konflik di Yemen, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – AFP