Sebaliknya, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menonjolkan persahabatan Korea Utara dan China apabila beliau me­ngangkat tangan utusan Pre­siden Xi Jinping ketika mereka sama-sama melambai kepada orang ramai.

Korea Utara atau nama rasminya, Republik Demokratik Rakyat Korea, diasaskan pada 9 September 1948, tiga tahun selepas Moscow dan Washington membahagikan Semenanjung Korea kepada dua bahagian pada hari-hari terakhir Perang Dunia Kedua.

Sudah menjadi kelaziman kepada Pyongyang untuk mempamerkan senjata terbaharunya pada hari tersebut.

Bagaimanapun, pameran senjata yang terlalu menonjol dikhuatiri akan menjejaskan pemulihan hubungan diplomatik di Semenanjung Korea yang dicapai susulan pertemuan Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Singapura pada Jun lepas dan sidang kemuncak ketiga beliau bersama Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in di Pyongyang akhir bulan ini.

Pyongyang sebaliknya menonjolkan peluru berpandu pemusnah kapal, Kumsong-3 dan misil darat ke udara, Pongae-5 pada kemuncak perbarisan.

Bayang peluru berpandu Hwasong-14 dan Hwasong-15 yang berupaya sampai ke tanah besar AS, tidak kelihatan pada sambutan kali ini.

“Tiada pameran ICBM dan IRBM (peluru berpandu balistik jarak sederhana) yang dilihat bercanggah dengan komitmen Korea Utara untuk melucutkan senjata. Langkah ini baik untuk imej Pyongyang,” kata seorang penganalisis politik, Chad O’Carroll.

Sejurus selepas perarakan selesai, beribu-ribu orang awam berjalan melintasi Dataran Kim Il-sung. Mereka mengiringi kereta-kereta berhias yang menampilkan tema ekonomi dan menggesa penyatuan semula dua Korea.

Pada April lalu, Jong-un mengisytiharkan bahawa pembangunan senjata nuklear Korea Utara telah selesai, manakala ‘pembangunan ekonomi sosialis’ akan menjadi keutamaan beliau. – AFP