Perbalahan dengan Kongres berhubung tuntutan dana AS$5 bilion (RM20.6 bilion) oleh Trump bagi membiayai pembinaan tembok sempadan AS menyebabkan 25 peratus agensi kerajaan lumpuh sejak 22 Disember lalu.

“Naib Presiden, Mike Pence dan pasukannya baru meninggalkan White House. (Beliau) memberi taklimat mengenai pertemuan mereka dengan wakil pembangkang (Parti Demokrat). Tidak banyak kemajuan dicapai hari ini (kelmarin),” kata Trump dalam komennya di laman Twitter.

Di bawah Kongres terdahulu yang dikuasai Parti Republikan, Dewan Senat sebulat suara meluluskan peruntukan bagi membiayai operasi kerajaan sehingga 8 Februari ini dan memberi ruang untuk tuntutan Trump dibahaskan.

Langkah itu turut dipertimbangkan oleh ahli-ahli Dewan Perwakilan, namun, Trump menggunakan kuasa vetonya menolak keputusan tersebut pada 20 Disember lalu.

Penutupan itu menyaksikan tentera AS dan agensi utama lain masih diberikan pembiayaan tetapi seramai 800,000 kakitangan kerajaan daripada jabatan lain sama ada diberikan cuti atau bekerja tanpa gaji.

Mereka yang bekerja tanpa gaji termasuk pengawal keselamatan di bawah Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan dan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Penutupan tersebut turut menyebabkan Muzium Smithsonian yang merupakan destinasi tarikan pelancong ditutup, manakala sampah sarap di taman-taman negara pula terus menimbun.

Pekerja-pekerja turut bimbang kerana tidak dapat membuat bayaran bil bulanan mereka seperti sewa rumah. – AFP