Serangan bom yang dilancarkan sejak Ahad lalu dikatakan menjadi satu episod paling berdarah sepanjang konflik selama tujuh tahun itu.

Keadaan bertambah teruk apabila rundingan diplomatik untuk melaksa­nakan gencatan senjata di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selama 30 hari bagi membenarkan bantuan kemanusiaan dan pemindahan perubatan di Syria tertangguh.

Majlis Keselamatan PBB mengumumkan bahawa satu undian akan dilakukan kelmarin tetapi terpaksa ditangguhkan dua kali ekoran tentangan hebat Rusia.

Rejim Syria yang disokong Moscow menuntut jaminan bahawa gencatan senjata itu perlu dihormati oleh anggota kumpulan pemberontak.

Serangan yang masih berlarutan itu juga menyebabkan sejumlah penduduk di Ghouta Timur terpaksa melarikan diri ke beberapa kawasan luar bandar.

Seorang wartawan AFP di sini berkata, dia menyaksikan sejumlah penduduk secara senyap-senyap menyeberangi kawasan runtuhan untuk menyaksikan ke­rosakan rumah mereka selain segelintir pula mencari makanan dan minuman.

“Sekumpulan anggota penyelamat turut mengusung seorang kanak-kanak lelaki yang cedera pada bahagian mata, darah mengalir pada wajahnya. Dia sempat bertanya kepada doktor, adakah saya dapat melihat semula,” katanya. – AFP