Langkah itu diambil selepas tentera Presiden Bashar al-Assad dilapor berjaya menawan hampir kesemua kawasan itu selepas melancarkan serangan tanpa henti lebih sebulan.

Tentera Syria yang disokong Rusia melancarkan serangan sejak 18 Februari lalu ke atas kubu kuat terakhir pemberontak berhampiran Damsyik yang telah dipisahkan kepada tiga wilayah.

Setiap kawasan itu ditawan tiga kumpulan pemberontak yang berbeza.

Kerajaan Syria dan Rusia dikatakan melancarkan strategi ‘tinggalkan atau mati’ dengan menghujani bom ke kawasan sasaran bagi menamatkan pe­nguasaan pemberontak sejak enam tahun lalu.

Siaran televisyen tempatan berkata, bandar ini kini bebas tanpa pemberontak selepas satu perjanjian dipersetujui yang menyaksikan kumpulan Ahrar al-Sham dan keluarga mereka telah berpindah ke wilayah Idlib, barat laut Syria.

Anggota kumpulan pemberontak dan orang awam menaiki kira-kira 50 bas untuk memulakan perjalanan ke wilayah itu.

Bagaimanapun, Ahrar al-Sham dikatakan telah membuat beberapa tuntutan dalam rundingan berkenaan sebelum meninggalkan kawasan Ghouta Timur tetapi gagal untuk me­nerima syarat yang dikenakan ke atas mereka.

“Salah satu yang mereka peroleh ialah keluar tanpa sebarang pembunuhan,” kata seorang penganalisis di Pusat Omran yang berpangkalan di Turki, Nawar Oliver.

Kira-kira 80 orang awam dilaporkan terbunuh dalam satu serangan bom di sebuah wilayah yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak Faylaq al-Rahman pada Khamis lalu.

Tentera Bashar kelihatan telah bersedia untuk memperluaskan kawalan di kawasan lain di Ghouta Timur selepas Faylaq al-Rahman bersetuju meninggalkan kawasan berkenaan.

Setakat ini, menurut beberapa media tempatan lebih 4,500 orang termasuk 1,400 anggota pemberontak telah meninggalkan kawasan berkenaan. – AFP