Pengeboman di Idlib dan kawasan sekitarnya mema­suki hari kedua semalam selepas rundingan bagi menghentikan kemaraan tentera Syria yang dihadiri oleh wakil Rusia, Iran dan Turki di Teheran gagal.

SOHR yang berpangkalan di Britain menyatakan, sera­ngan berat disambung semula ke atas Idlib yang terletak dekat sempadan Turki sekitar tengah hari semalam.

“Helikopter-helikopter tentera Bashar menggugurkan lebih 60 bom tong berisi bahan letupan kuat dan serpihan logam tajam di Kampung Hobait, selatan Idlib yang membunuh sekurang-kurangnya seorang budak perempuan serta mencederakan enam yang lain,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

Di wilayah Hama yang berjiran dengan Idlib, jet-jet Rusia pula melancarkan lebih 10 serangan udara terhadap kedudukan pemberontak di Kampung Al-Latamneh, katanya.

Siri serangan udara itu mencederakan lima pejuang pemberontak dan mengakibatkan hospital bawah tanah di kampung tersebut rosak, sehari selepas serangan udara merosakkan kemudahan serupa di bandar Has, selatan Idlib.

Lebih separuh daripada Idlib dikuasai oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS), perikatan yang diketuai kumpulan militan pro-Al-Qaeda, manakala bakinya dikuasai pemberontak.

Rejim Bashar pula menawan sebahagian kawasan di tenggara Idlib.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sebarang kempen ketenteraan di Idlib akan memaksa sehingga 800,000 orang meninggalkan kediaman mereka.

Kawasan dikuasai pembe­rontak di Idlib dan rantau sekitarnya didiami oleh hampir tiga juta orang dengan separuh daripada mereka merupakan pelarian dalam negara sendiri, kata PBB.

Lebih 350,000 orang maut dan berjuta-juta yang lain menjadi pelarian sejak perang saudara Syria bermula pada tahun 2011. – AFP