Serangan ekstrem itu me­nimbulkan kemarahan antarabangsa termasuk tuduhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa kerajaan Syria melakukan kemusnahan mutlak.

Tentera Syria dan militia bersekutu yang disokong Rusia memulakan kempen pengeboman besar-besaran sejak 18 Februari di Timur Ghouta yang merupakan kubu terakhir pemberontak berhampiran Damsyik sebelum melancarkan serangan darat seminggu kemudian.

Kempen tersebut setakat ini telah membunuh 867 orang awam termasuk ratusan kanak-kanak menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Beberapa bandar dan kampung turut ditawan tentera kerajaan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Kelmarin, tentera kerajaan menawan Beit Sawa, Al-Ashaari dan ladang berhampiran, kata badan itu.

Serangan udara bertubi-tubi, kebanyakannya dilakukan jet pejuang Rusia menyebabkan 62 lagi orang awam termasuk empat kanak-kanak di sekitar kawasan tersebut maut, kata pertubuhan tersebut berdasarkan satu rangkaian sumber di lapangan. - AFP