“Bot itu telah dipantau dan di­pintas mengikut undang-undang antarabangsa. Pihak tentera menjelaskan kepada penumpang bot bahawa mereka telah melanggar sekatan tentera laut yang sah dan barangan kemanusiaan yang dibawa boleh dipindahkan ke Gaza melalui Pelabuhan Ashdod,” kata tentera laut Israel dalam satu ke­nyataan.

Bot yang dinamakan Freedom for Gaza dan membawa 12 orang itu kemudian dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel manakala penumpang­nya ditahan untuk siasatan lanjut.

Freedom for Gaza merupakan bot kedua daripada Freedom Flotilla yang dipintas dalam perjalanan untuk ‘memecahkan sekatan’ ke atas Gaza, kata penganjur. Bot tersebut membawa peralatan perubatan.

Empat buah bot meninggalkan Scandinavia pada pertengahan bulan Mei lalu dan telah berhenti di 28 pelabuhan di sepanjang perjalanan, dengan dua buah bot berada di belakang selepas berhenti di pelabuhan Palermo, Itali baru-baru ini.

Pada Ahad lalu, tentera laut Israel telah memintas sebuah bot aktivis yang mengibarkan bendera Norway dan merupakan sebahagian daripada misi flotilla.

Israel telah berperang sebanyak tiga kali dengan pejuang Palestin di Gaza sejak tahun 2008 dan me­ngatakan sekatan itu perlu bagi memastikan mereka tidak mendapat senjata atau bahan yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) te­lah menyeru agar sekatan tersebut dimansuhkan, dengan menyatakan situasi kemanusiaan kian merosot di wilayah Palestin yang dikendalikan oleh gerakan Islam Hamas yang mana 80 peratus daripada jumlah dua juta penduduk bergantung kepada bantuan. – AFP