Taufan Tembin dijangka membadai Vietnam selepas membadai penduduk Kristian di Filipina yang sedang membuat persiapan menyambut Krismas.

Jawatankuasa Pencegahan Bencana Alam Vietnam membe­ritahu, sebanyak 74,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berbahaya, manakala pihak berkuasa di 15 wilayah dan bandar kini bersedia untuk memindahkan lebih satu juta orang lagi.

Kerajaan mengarahkan telaga minyak serta kapal-kapal supaya berjaga-jaga dan memberi amaran kepada 62,000 bot nelayan supaya tidak keluar ke laut.

“Vietnam mesti memastikan keselamatan telaga minyak dan kapal-kapal. Sekiranya perlu, tutup telaga minyak dan pindahkan pekerja-pekerja terlibat,” kata Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc yang dipetik daripada satu laman web kerajaan.

Sekolah-sekolah di kawasan selatan pusat komersial Bandar Raya Ho Chi Minh turut diarahkan ditutup walaupun semalam merupakan hari bekerja di Vietnam.

Sementara itu di Filipina, penyelamat masih bertungkus-lumus untuk tiba di kawasan terjejas teruk yang dilanda banjir serta tanah runtuh dengan ang­ka kematian terus meningkat melebihi 240 orang dan puluhan lagi dilaporkan hilang.

Pekerja kesihatan, Arturo Simbajon berkata, hampir kese­luruhan perkampungan pesisir Anungan di Semenanjung Zamboanga, Mindanao musnah akibat dihanyutkan bersama batang-batang balak, batu dan lumpur dari sungai terus ke laut kecuali sebuah masjid yang masih teguh berdiri. – Reuters