Kira-kira 20 biji telur yang dianggarkan berusia 2,500 tahun ditemui dengan keadaan kandungan di dalamnya sudah kering dan memiliki cangkerang berwarna biru kehijau-hijauan di tapak ekskavasi di bandar ini, menurut laporan akhbar Yangzi Evening News.

Telur-telur itu dipercayai ditanam antara tahun 770 hingga 476 sebelum Masihi dan kumpulan pakar menyatakan saiznya sama seperti telur zaman moden. Bagaimanapun, mereka belum mendedahkan telur jenis haiwan apakah yang ditemui itu.

“Bekas itu diselaputi lumpur dan tembikar berkenaan ditemui di bawah lapisan tersebut. Kami membuka penutupnya dan melihat ada sejumlah biji telur di dalamnya,” kata salah seorang ahli arkeologi kumpulan itu, Zhou Hengming kepada akhbar Modern Express.

Telur-telur yang ditemui ahli arkeologi dari Institut Arkeologi Nanjing dan Muzium Liyang itu akan menjalani ujian makmal tidak lama lagi di China. – Agensi