Akhbar Daily Mail melaporkan bahawa jet elektrik yang dipanggil Lilium Jet membuat penerbangan itu pada awal bulan ini menggunakan sistem pelepasan dan pendaratan vertikal (VTOL).

Pesawat itu menggunakan sebanyak 36 unit enjin yang membantu pelepasan secara menegak dan mampu terbang sepantas 300km/j.

Firma itu menyatakan teksi udara tersebut mampu menerbangkan penumpang dari London ke Manchester, England dalam tempoh kurang satu jam. Mereka juga berharap perkhidmatan teksi terbang itu dapat ditawarkan sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Lilium Jet boleh beroperasi bersama juruterbang atau dengan konsep dron. Pesawat ini tidak mempunyai ekor, sistem kemudi, bebaling dan kotak gear. Bagaimanapun, ia dipasang dengan tingkap panoramik dan pintu jenis bukaan ke atas (gull-wing).

Satu rakaman video yang dikongsi Lilium menunjukkan pesawat tanpa juruterbang itu berlepas secara menegak seperti helikopter, terapung di ruang udara seketika sebelum melakukan pendaratan semula. - Agensi