Georgia menyertai empat lagi negeri pesisir mengeluarkan amaran ramalan cuaca menunjukkan Florence akan membawa hujan paling lebat di ne­geri-negeri selatan.

Dengan Florence sema­kin hampir, Presiden AS, Donald Trump, pegawai-pegawai pentadbiran ne­geri dan tempatan menggesa penduduk supaya mengosongkan kediaman mereka sebelum terlambat.

Permintaan berjaga-jaga juga dihantar dari angkasa lepas apabila astronomi Jerman, Alexander Gerst memuat naik gambar awan gergasi yang dirakam dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dengan a­maran: “Hati-hati Amerika!” melalui akaun Twitternya.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) berkata, kekuatan angin maksimum Flo­rence mengurang kepada 175 kilometer sejam (km/j) menyebabkan turun kepada ribut kategori dua daripada kategori tiga dalam keseluruhan lima tahap skala angin Saffir-Simpson.

Ia merupakan penurunan kedua dalam masa beberapa jam, namun NHC yang berpangkalan di Miami mengekalkan ‘situasi berbahaya’ berdasarkan risiko peningkatan ribut di sekitar kawasan pantai.

Sehingga kini hampir 1.7 juta penduduk berpindah secara sukarela atau mengikut arahan pengosongan mandatori. Penduduk pesisir pantai memenuhi jalan raya bagi meninggalkan rumah serta premis perniagaan mulai kelmarin sebelum ketibaan ribut.

“Kosongkan laluannya, jangan berjenaka dengannya, ia sesuatu yang besar, mungkin sebesar yang mereka lihat,” kata Trump.

“Kami akan mengendalikannya, Kami bersedia, kami mampu. Perlindu­ngan nyawa merupakan keutamaan yang paling tinggi,” tambahnya.

Florence dijangka mencurahkan sehingga 1 meter air hujan di sesetengah kawasan selepas tiba di Carolina Utara dan Selatan.

Sehingga 8 pagi (waktu tempatan semalam), pusaran taufan berada 355 kilometer dari tenggara Wil­mington, Ca­rolina Utara dengan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 27.35km/j. – AFP