Jalaluddin Haqqani meninggal dunia kata Taliban dalam satu kenyataan di laman Twitter. Anak lelakinya, Sirajuddin kini mengetuai rangkaian Haqqani dan juga merupakan timbalan ketua kumpulan Taliban.

“Jalaluddin tergolong sebagai antara pejuang jihad yang paling hebat semasa eranya,” tambah kenyataan tersebut.

Semasa tahun 1980-an, ketua rangkaian Haqqani itu merupakan seorang komander mujahidin yang memerangi pendudukan Kesatuan Soviet di bumi Afghanistan dengan bantuan Pakistan dan Amerika Syarikat (AS).

Dia menjadi terkenal kerana organisasi tersebut dan keberaniannya di samping mendapat perhatian Agensi Perisikan Pusat (CIA) serta lawatan peribadi oleh ahli Kongres AS, Charlie Wilson.

Fasih berbahasa Arab, Jalaluddin turut menjalinkan hubungan rapat dengan pejuang-pejuang Arab termasuk Osama Bin Laden. Dia kemudian menjadi seorang menteri dalam rejim Taliban.

Tarikh atau lokasi Jalaluddin meninggal dunia dan jenis penyakit yang dihidapinya masih tidak jelas. Khabar angin mengenai kematiannya pernah tersebar pada tahun 2008 atau 2015. Dia dipercayai berusia dalam lingkungan awal 80-an semasa menghembuskan nafas terakhir. – AFP