Helikopter-helikopter tempur dan dron Amerika Syarikat (AS) menyediakan sokongan serangan udara kepada tentera kerajaan Afghanistan. Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan berapa luas kawasan di Ghazni masih dikuasai kerajaan ketika asap tebal menyelubungi bandar itu, manakala beberapa saksi berkata, mereka melihat mayat-mayat bergelimpa­ngan di jalan raya.

Ketua Polis Ghazni, Je­neral Farid Ahmad Mashal berkata, kumpulan Taliban merampas beberapa bahagian di bandar itu. Ghazni diancam sejak beberapa bulan lalu dengan pertempuran sengit berlaku di da­erah sekitarnya.

Satu kenyataan daripada ibu pejabat tentera AS di Kabul menyatakan, pertempuran terhenti pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam, manakala tentera Afghanistan mempertahankan kedudukan mereka serta mengekalkan kawalan di semua pusat kerajaan.

“Tentera AS bertindak balas dengan melancarkan serangan udara,” kata jurucakap Tentera AS-Afghanistan, Leftenan Kolenel Martin O’Donnell dalam satu kenyataan.

Beberapa pegawai berkata, pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan Taliban bermula sekitar pukul 2 pagi dan memaksa lebuh raya utama menghubungkan Ghazni dan Kabul ditutup.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengeluarkan kenyata­an mengesahkan beberapa serangan telah dilancarkan ke atas Ghazni semalam. Menurutnya, berpuluh-puluh askar Afghanistan dan polis terbunuh.

Bagaimanapun, kata O’Donnell, laporan menun­jukkan kematian dalam kalangan anggota pasukan keselamatan Afghanistan adalah minimum. – Reuters