Mangsa yang terdiri daripada delegasi dari pelbagai kawasan di negara itu, diundang oleh Majlis Ulama Afghanistan bagi me­raikan sambutan Maulidur Rasul di Kabul kelmarin.

Tanpa mengetahui dalang di sebalik serangan itu, motif serangan gagal dikenal pasti. Letupan itu mungkin bertujuan menjejaskan kerajaan pimpinan Presiden Ashraf Ghani ataupun sebahagian daripada strategi untuk menggagalkan rundingan antara Kabul dan Taliban bagi menamatkan perang saudara Afghanistan yang berlarutan selama 17 tahun.

“Setakat ini, kami tidak tahu militan mana yang bertanggungjawab melancarkan serangan itu. Siasatan pula masih di peringkat awal,” kata seorang pegawai kanan keselamatan yang berada di lokasi kejadian pagi semalam, bagi mengumpulkan bukti forensik.

Sambutan tersebut menghimpunkan ulama ajaran Sunnah tetapi masih tidak jelas sama ada serangan itu bermotifkan mazhab.

Walaupun kedua-duanya mengikuti ajaran Sunnah, pemberontak Taliban dan Daesh menyasarkan ulama-ulama yang menyokong kerajaan Afghanistan pada masa lalu.

Bagaimanapun kali ini, kumpulan Taliban bukan sahaja menafikan melancarkan serangan itu, malah turut mengutuknya kerana mengorbankan ulama dan pendakwah.

Angka korban dalam serangan kelmarin dijangka terus meningkat kerana kebanyakan daripada 80 mangsa yang dirawat di hospital mengalami kecederaan parah. – Reuters