Kenyataan itu dibuat pada ketika Moscow dituduh menyertai serangan udara ke atas kumpulan pemberontak yang menguasai kawasan Ghouta Timur.

“Pada ketika kami membantu rakyat Syria, kami menguji lebih 200 jenis senjata baharu,” kata bekas komando Operasi Tentera Udara Rusia, Vladimir Shamanov yang kini menge­tuai Jawatankuasa Pertahanan Duma Rusia.

“Ia bukan suatu yang disengajakan. Pada hari ini, mereka tampil dari semua arah untuk membeli senjata kami termasuk dari negara-negara bukan sekutu,” kata beliau.

“Industri kompleks ketenteraan kami membuatkan tentera kami kelihatan sebagai suatu yang boleh dibanggakan,” tambahnya.

Rusia, sekutu rapat kerajaan Syria, dituduh melakukan pengeboman sepanjang konflik yang menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Kritikan terbaharu tertumpu kepada serangan udara di wilayah Ghouta Timur dengan lebih 400 orang awam terbunuh dalam tempoh lima hari. Kremlin menafikan pihaknya terlibat dalam serangan itu.

Kenyataan Shamanov muncul ditengah-tengah dakwaan bahawa Rusia menghantar model prototaip jet tempur SU-57 yang gagal dikesan radar di Syria. Dua pesawat itu dilaporkan dikesan pada Rabu lalu.

Beberapa media rasmi kelmarin memaparkan gambar jet generasi kelima itu yang dipercayai terbang di ruang udara Syria.

Satu sumber di Kementerian Pertahanan mengesahkan kepada agensi berita RBK bahawa kedua-dua jet itu dihantar ke Pangkalan Hmeimim di Syria ‘untuk diuji dalam situasi sebenar’.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov enggan mengulas mengenai laporan penghantaran jet SU-57. – AFP