Kumpulan lelaki bersenjata, kebanyakannya memakai uniform, melancarkan serangan dekat bandar Bentiu, utara Sudan Selatan, kata ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Henrietta Fore, ketua agensi bantuan PBB, Mark Lowcock dan pengarah Dana Populasi PBB, Natalia Kanem dalam satu kenyataan bersama.

Ketiga-tiga agensi itu menyelar serangan ganas tersebut dan menyeru pihak berkuasa Sudan Selatan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Perbuatan dahsyat ini menjadi peringatan bahawa situa­si keselamatan dihadapi orang awam masih teruk, khususnya wanita dan kanak-kanak,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang mengutuk serangan tersebut dalam satu kenyataan akhbar.

Pertubuhan amal, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mendedahkan pada minggu lalu bahawa seramai 125 wanita dan gadis menjadi mangsa rogol ketika mereka berjalan ke beberapa pusat pengagihan makanan yang disediakan oleh agensi bantuan antarabangsa.

Ketiga-tiga agensi PBB itu mendakwa, bilangan mangsa rogol sebenar di Sudan Selatan adalah jauh lebih tinggi memandangkan jenayah itu sering tidak dilaporkan oleh mangsa.

Berperang sejak 2013, Sudan Selatan merekodkan peningkatan mendadak kes keganasan seksual. Sepanjang enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 2,300 kes dilaporkan dengan 20 peratus mangsa merupakan kanak-kanak, jelas PBB. – AFP