Semalam, perjanjian berusia beberapa dekad bersama Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan Jepun memproses semula plutonium te­lah diperbaharui tetapi pakatan itu boleh ditamatkan oleh mana-mana pihak menerusi notis enam bulan.

Pemprosesan semula plutonium dapat menghasilkan bahan api bebas pencemaran baharu untuk Jepun yang kurang sumber tersebut, namun saiz simpanan pluto­niumnya mengundang kritikan, bahkan oleh sekutu-sekutu Tokyo sendiri.

Plutonium boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear. Walaupun Jepun berjanji bahan api itu tidak akan sesekali digunakan untuk tujuan ketenteraan, ia kini mengumpulkan lebih ba­nyak plutonium berbanding kegunaan semasa berikutan banyak janakuasa nuklear­nya belum beroperasi selepas bencana alam di Fukushima pada tahun 2011.

Pakar-pakar memberi ama­ran bahawa stok yang sema­kin bertambah itu berbahaya jika berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami yang mengakibatkan kebocoran bahan radioaktif seperti di Fukushima di sam­ping menjadi sasaran menarik kepada pengganas.

Mereka juga bimbang rizab plutonium itu akan mengga­lakkan kuasa serantau lain termasuk China untuk memiliki keupayaan pemprosesan semula yang setanding de­ngan Jepun sekali gus mening­katkan jumlah plutonium gred senjata di Asia.

Sesetengah pakar berke­naan turut memberi amaran bahawa Korea Utara mungkin menjadikan simpanan plutonium Jepun sebagai alasan untuk tidak melucutkan senjata nuklearnya.

Jepun mempunyai simpanan plutonium berjumlah 10 tan di dalam negara dan 37 tan lagi di Perancis serta Bri­tain. – AFP