Serentak itu juga, satu siasatan menyeluruh dilakukan melibatkan tiga pa­nel yang dianggotai oleh hakim bersara bagi menyiasat pelanggaran undang-undang dalam kejadian di sebuah resort terkenal di Kandy, menurut pejabat Maithripala dalam satu kenyataan.

Tiga orang terbunuh, manakala 20 lagi cedera serta lebih daripada 200 premis perniagaan dan kediaman milik orang Islam musnah dalam rusuhan empat hari sehingga Khamis lalu.

Sebanyak 11 masjid juga dilaporkan rosak atau dimusnahkan sepenuhnya dalam rusuhan di Sinhala, kata polis yang turut memberitahu keadaan kembali terkawal setelah anggota tentera ditempatkan di lokasi terlibat.

Satu perintah berkurung di sebuah daerah yang terletak 115 kilometer di timur ibu negara Colombo telah ditarik balik subuh semalam, namun pihak tentera masih meneruskan rondaan bersama polis, kata pegawai.

Penduduk minoriti Islam Sri Lanka menunaikan solat Jumaat di bawah perlindungan tentera di seluruh negara susulan ketakutan selepas serangan ter­baru. Bagaimanapun aktiviti keagamaan diteruskan tanpa melibatkan sebarang insiden, kata pihak berkuasa.

Ratusan sami Buddha dan aktivis mengambil bahagian dalam demonstrasi di Colombo kelmarin yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku rusuhan ber­kenaan.

Polis berkata, sehingga kini hampir 150 orang termasuk penghasut utama ditahan. Khamis lalu, seorang pelampau Buddha Sinhala, Amith Weerasinghe yang dikenali sebagai aktivis anti-Islam dan sering memuat naik mesej lantang di laman sosial ditahan.

Kerajaan mengisytiharkan darurat di sebilangan kawasan pada Selasa lalu selepas seorang lelaki Islam ditemui rentung dalam sebuah bangunan yang terbakar, sehari selepas seorang penganut Sinhala maut dipercayai akibat diserang penganut Muslim. – AFP