Kelincahan Mamoudou Gassama, 22, memanjat apartmen tanpa sebarang pe­ralatan keselamatan pada Mei lalu menyebabkan dia diberikan laluan pantas menjadi warga negara selain ditawarkan jawatan sebagai anggota bomba.

“Tindakan berani ini akan menjadi contoh bagi menyatukan komuniti dalam negara. Ia juga menjadi satu galakan kepada semua agar tidak mementingkan diri dan mengambil berat mereka yang dalam kesusahan,” kata satu dokumen rasmi yang diterbitkan kelmarin.

Nama Gassama yang tinggal di Perancis secara haram menjadi terkenal di seluruh dunia setelah satu rakaman menunjukkan dia menyelamatkan kanak-kanak tersebut dengan ditonton berjuta-juta orang di laman sosial.

Video tersebut menunjukkan bekas buruh binaan itu melompat dari satu tingkat ke tingkat yang lain dengan menggunakan kelincahan yang menakjubkan bagi menyelamatkan kanak-kanak berusia empat tahun yang tergantung di balkoni.

Dua hari kemudian, pemuda itu mene­rima ucapan tahniah secara peribadi da­ripada Presiden, Emmanuel Macron dan bertemu Presiden Mali, Ibrahim Bouba­car Keita di ibu negara Afrika Barat itu.

Gassama tiba di Perancis pada September 2017 setelah merentas laluan migran di Mediterranean yang berbahaya dan berjaya mencari kerja di dalam industri pembinaan walaupun tidak mempunyai permit kerja. – AFP