Kumbang yang memiliki saiz lebih kecil daripada kuku jari manusia dinamakan sebagai Trigonopterus yoda. Ia adalah salah satu daripada 103 spesies serangga baharu ditemui dan dinamakan secara rasmi, menurut laporan akhbar Daily Mail.

Selain itu, sekumpulan tiga spesies kumbang lain pula dinamakan sempena Asterix, Obelix dan Idefix iaitu karakter utama dalam siri komik Perancis, The Adventures of Asterix.

Kumpulan penyelidik yang membuat penemuan itu optimis masih banyak serangga lain akan ditemui dalam masa terdekat. Penemuan itu dilaporkan dalam jurnal ZooKeys.

Kurator kumbang dari Pusat Penyelidikan Biologi Indonesia, Raden Pramesa Narakusumo berkata: “Penyelidikan kami masih belum lengkap dan ada kemungkinan penemuan yang dilakukan cuma di peringkat permulaan.”

“Sulawesi ialah kompleks geologi dan masih banyak kawasan belum diteroka untuk mencari spesies kumbang kecil,” katanya. – Agensi