Save the Children berkata, anggaran itu berdasarkan data terkumpul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Badan dunia itu memberi amaran bahawa sehingga 14 juta orang berisiko mengalami kebuluran di Yemen di mana pakatan Arab Saudi berperang dengan pembe­rontak Houthi yang disokong Iran.

“Bagi setiap kanak-kanak yang terbunuh oleh bom dan peluru, berpuluh-puluh lagi berada di ambang maut akibat kebuluran dan yang menyedihkan, semua ini boleh dicegah,” kata pengarah organisasi itu di Yemen, Tamer Kirolos.

“Kanak-kanak yang meninggal dunia dengan cara ini amat menderita kerana organ pen­ting mereka beransur-ansur lemah dan akhirnya terhenti,” tambahnya.

Sementara itu, Pelabuhan Hodeida yang menjadi pintu masuk kepada 80 peratus import makanan dan bantuan ke Yemen dikepung oleh tentera pakatan Arab Saudi. Riyadh menyokong kerajaan dalam buangan Yemen pimpinan Presiden Abdul Rabbu Mansour Hadi sejak tahun lalu.

Situasi tersebut, kata Save the Children, memaksa organisasi itu membawa masuk bekalan ke utara Yemen melalui pelabuhan di selatannya, Aden.

Pertubuhan tersebut turut melaporkan tentang ‘peningkatan mendadak’ serangan udara oleh pakatan Arab Saudi ke atas bandar Hodeida.

“Sejak beberapa minggu lalu, terdapat beratus-ratus serangan ke atas Hodeida dan kawasan sekitarnya, sekali gus mengancam nyawa kira-kira 150,000 kanak-kanak yang masih terperangkap di bandar itu,” kata Kirolos.

Tegasnya, organisasi itu mendesak supaya pertempuran di Yemen dihentikan segera supaya tidak ada lagi nyawa manusia yang terkorban. – AFP