Pasukan polis, termasuk unit elit Gurkha Nepal kini mula memenuhi jalan-jalan, menguatkuasakan penutupan bahagian utama bandar serta menyekat laluan bagi memberi keselesaan kepada pertemuan bersejarah antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Sementara bagi mengelak sebarang kejadian protes yang bakal mengganggu, larangan membawa suar, sepanduk atau pembesar suara dikuatkuasakan di kawasan berhampiran lokasi sidang kemuncak utama itu bakal
berlangsung.

Penahan konkrit juga dipasang di lokasi utama, manakala penghadang logam mekanikal yang akan timbul dari permukaan tanah dengan sentuhan butang pula mungkin ditempatkan di beberapa jalan.

Atur kedudukan pihak polis bagi menghadapi pertemuan yang paling ditunggu-tunggu itu dijangka menjadi yang terbesar sejak tahun 2006 apabila kira-kira 23,000 orang pegawai diarahkan bersiap sedia semasa mesyuarat antara Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan Bank Dunia di negara itu.

Rakyat Singapura telah ter­biasa dan sebahagian besar mereka menerima keadaan kawalan ketat seperti itu. 

Pemandangan pihak berkuasa berseragam meronda di sekitar bandar raya, manakala tentera bersenjata bersedia di lapangan terbang adalah perkara biasa.

Kerajaan telah lama menekankan kepada rakyatnya bahawa tahap keselamatan yang tinggi diperlukan kerana hab kewa­ngan yang kaya itu menjadi sasaran utama serangan pengganas.

Bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan ekstrem se­perti ini juga dianggap luar biasa terhadap piawai biasa rakyat Singapura kerana dianggap mengganggu kehidupan seha­rian 5.6 juta penduduk di bandar raya tersebut. 

“Saya juga menyokong usaha mencapai keamanan dunia, tetapi saya lebih suka jika mereka mengadakan pertemuan itu di tempat lain,” kata seorang guru muzik, Janice Tan, 28, yang menyifatkan kawalan keselamatan amat mengganggu termasuk beberapa jalan bakal ditutup. – AFP