Di kawasan berdekatan pula, lelaki-lelaki bersenjata palsu menyerbu sebuah pusat beli-belah dalam simulasi serangan pengganas yang diadakan baru-baru ini.

Semua ini berlaku bukan di rantau bergolak tetapi di Si­ngapura, antara negara yang paling selamat di dunia.

Pulau itu memiliki rekod hampir sempurna dalam memastikan tanah airnya bebas daripada keganasan, namun ketika ia bersedia menerima kunjungan para menteri luar Asia Tenggara minggu ini, Singapura mempu­nyai alasan kukuh untuk memberi tumpuan bagi menghentikan penyebaran gerakan militan di rantau berkenaan.

Hab kewangan itu yang berada di tempat kedua di belakang Tok­yo dalam Indeks Bandar Raya Paling Selamat oleh perbadanan The Economist Intelligence Unit pada 2017 berkata, ia sudah lama menjadi sasaran komplot pengganas dengan sesetengah ancaman berasal dari negara-negara jiran yang majo­riti rakyatnya beragama Islam.

Malah, serangan oleh militan dianggap ‘menunggu masa untuk berlaku’ dan bukan ‘sekiranya berlaku’.

“Singapura terus berdepan ancaman keselamatan serius dari kedua-dua individu radikal dalam negara dan pengganas asing yang berterusan melihat Singapura sebagai sasaran berharga,” kata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam jawapan kepada soalan agensi berita Reuters.

Pihak berkuasa Singapura berkata, ia menjadi sasaran ge­rakan ekstrem sejak tahun 1990-an lagi tetapi usaha mencegah keganasan dipertingkatkan sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini terutamanya selepas lebih banyak serangan berlaku di negara-negara Barat dan setelah militan Daesh menawan Bandar Marawi di selatan Filipina selama beberapa bulan pada 2017.

Kebimbangan mengenai ancaman ke atas pulau itu terus memuncak selepas seorang askar Singapura muncul dalam beberapa video promosi Daesh, terbaharu pada Disember 2017 yang memaparkan dia melaksanakan hukuman bunuh terhadap beberapa lelaki.

Dalam Laporan Penilaian Ancaman Keganasan yang di­siarkan pada tahun lalu, MHA menyatakan bahawa Singapura berada dalam ‘radar’ Daesh de­ngan ancaman ke atas negara itu berada di tahap tertinggi sejak beberapa tahun lalu.

“Singapura dikenali sebagai negara selamat, menjadikannya sasaran berharga,” kata Dan Bould yang merupakan pengarah firma pengurusan bencana, Aon dan bekas Kapten tentera British.

“Sekiranya serangan berlaku di Filipina, ia mungkin mendapat liputan setengah jam dalam kitaran berita 24 jam, namun serangan di Singapura pula de­ngan individu berbilang budaya berada di pulau itu, akan menjadi tumpuan sekurang-kurangnya untuk beberapa hari,” tambah­nya. – Reuters