“Pada tahun lalu, PBB merekodkan kematian dan kecede­raan lebih 26,000 orang awam di enam buah negara yang terjejas akibat konflik terutamanya Afghanistan, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo (DRC), Iraq, Somalia dan Yemen.

“10,000 daripada mereka berada di Afghanistan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Majlis Keselamatan yang bersidang bagi membincangkan perlindungan orang awam dalam konflik bersenjata.

Guterres berkata, penduduk awam di zon kon­flik menjadi mangsa pencabulan hak asasi manusia yang kejam termasuk rogol dan keganasan seksual lain.

Contoh jelas, katanya, berlaku di DRC di mana PBB merekodkan lebih 800 kes keganasan seksual berkaitan konflik pada tahun lalu, peningkatan 56 peratus berbanding 2016.

Konflik di serata dunia memaksa berjuta-juta orang meninggalkan kediaman demi masa depan yang tidak pasti. Kira-kira 65.6 juta orang hilang tempat tinggal kerana perang, keganasan dan penindasan pada akhir tahun 2016

Menurut pemimpin PBB itu, pengeboman dan bedilan meriam ke atas bandar dan bandar raya mengakibatkan puluhan ribu orang awam terbunuh dan cedera setiap tahun.

Di Syria, serangan telah membunuh dan mencederakan begitu ramai orang awam di Aleppo, Dayr Al-Zawr, Homs, Idlib, Raqqah dan Rif Dimashq dengan memusnahkan infrastruktur awam seperti sekolah serta hospital.

Guterres berkata lagi, sera­ngan itu menyasarkan fasiliti perubatan, kemanusiaan dan pekerja kesihatan.

“Pada 2017, Pertubuhan Kesihatan Sedunia merekodkan 322 serangan yang mengakibatkan 242 kematian petugas perubatan dan pesakit,” katanya.

Beliau juga kecewa berhubung halangan ke atas akses bantuan perubatan dan kesihatan seperti kejadian merompak konvoi bantuan selain ancaman pihak-pihak bertelagah. ­
– BERNAMA