Bolton memberitahu program televisyen, Face the Nation di saluran CBS bahawa Washington telah merangka program untuk menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran Korea Utara termasuk senjata kimia, biologi, nuklear dan peluru berpandu ba­listik dalam masa setahun sekiranya wujud kerjasama dan pendedahan penuh oleh Pyongyang.

“Sekiranya mereka (Korea Uta­ra) telah membuat keputusan strategik untuk melakukannya dan mereka bekerjasama penuh, kami dapat melakukannya de­ngan segera.

“Secara fizikal, kami berupaya menghapuskan sebahagian besar program senjata mereka dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkemungkinan membincangkan cadangan itu dengan Korea Utara tidak lama lagi.

Akhbar Financial Times me­laporkan bahawa Pompeo dijang­ka mengunjungi Korea Utara minggu ini tetapi Jabatan Negara AS masih belum mengesahkan perkara itu.

Media Korea Selatan melaporkan kelmarin bahawa duta AS ke Filipina, Sung-kim menemui pegawai Korea Utara pada hari sama di perkampungan sempadan Panmunjom di zon bebas tentera yang memisahkan kedua-dua Korea bagi menyelaraskan agenda lawatan Pompeo sete­rusnya.

Pendirian optimis itu dinyatakan selepas akhbar Wall Street Journal melaporkan kelmarin bahawa imej satelit menunjukkan Pyongyang sedang meluaskan sebuah kilang peluru berpandu utama miliknya. – Reuters