China kini berhubung rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perkemba­ngan semasa tentang makmal angkasa lepas itu.

Tiangong-1 dijangka memasuki semula atmosfera Bumi antara 31 Mac hingga 1 April minggu ini, menurut pihak yang mengendalikan program angkasa lepas China, namun tiada sesiapa mengetahui waktu yang tepat.

Bercakap pada satu taklimat harian, jurucakap Kementerian Luar, Lu Kang berkata, Beijing secara berterusan memaklumkan perkembangan terbaharu tentang keadaan Tiangong-1 kepada agensi angkasa lepas PBB.

China menangani perkara itu secara bertanggungjawab dan telus, kata Kang.

“Sekiranya ada keperluan, kami akan segera berhubung dengan negara-negara ber­kenaan.

“Kebarangkalian untuk serpihan besar jatuh ke ta­nah bukannya besar, malah kemungkinan ia berlaku adalah sangat kecil,” katanya.

Tiangong-1 sepanjang 10.4 meter itu merupakan makmal angkasa lepas pertama China yang dilancarkan ke orbit pada tahun 2011.

Ia berperanan sebagai sebuah stesen angkasa selain menjalankan ujikaji di orbit sebagai sebahagian daripada cita-cita program angkasa lepas China yang mahu me­nempatkan sebuah stesen angkasa lepas tetap di orbit Bumi pada 2023.

Makmal angkasa lepas itu sepatutnya menamatkan misinya pada 2013 tetapi China bertindak melanjutkan operasinya dengan saintis-saintis percaya bahawa Tiangong-1 telah hilang kawalan. – Reuters