Suspek dikatakan melarikan diri dari lokasi kejadian selepas melakukan serangan, namun ditemui mati selepas itu dipercayai membunuh diri.

Setakat ini, motif serangan di bandar pelabuhan Brest di Brittany masih belum diketahui.

Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner mengarahkan supaya langkah-langkah ke­selamatan dipertingkatkan di kawasan rumah-rumah ibadat di seluruh Perancis.

Imam Rachid El Jay terkena empat das peluru. Seorang lagi jemaah yang bersama Rachid cedera selepas terkena dua das tembakan. Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan parah, menurut Majlis Agama Islam Perancis (CFCM) dan satu sumber perundangan.

“(Rachid) mengalami dua luka tembakan pada abdomen dan dua lagi pada kakinya. Seorang jemaah terke­na dua das tembakan pada kakinya,” menurut CFCM.

Akhbar The Times melaporkan Rachid atau dikenali dengan nama Rachid Abou Houdeyfa merupakan seorang imam ter­kenal yang pernah mencetuskan kemarahan kumpulan pembe­rontak kerana mengkritik Daesh.

Timbalan Datuk Bandar Brest, Trabelsi Hosny menyatakan imam itu keluar dari masjid bersama rakan sebelum disapa ‘seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dan mahu bergambar dengan imam berkenaan’, sebelum mangsa (Rachid) bersetuju.

Lelaki itu kemudian menembak imam dan rakannya, kata Hosny. Insiden berlaku kira-kira pukul 4 petang (waktu tempatan).

Sumber polis menyatakan suspek penembak ditemui mati di satu kawasan berhampiran lapangan terbang, kira-kira 10 kilometer daripada masjid, dengan kesan tembakan pada bahagian kepala, berkemungkinan membunuh diri.

Suspek meninggalkan beberapa dokumen bertulis berhampiran tempat mayatnya ditemui, menurut sumber sama.

Polis kini membuka siasatan dengan pejabat pendakwa raya Paris mengesahkan pasukan antipengganasan turut menyiasat kes tersebut. – AFP/Agensi