Jurucakap Kementerian Kesihatan, Wahid Majroh berkata, kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital, sebahagiannya berada dalam keadaan kritikal dan angka kematian dijangka semakin bertambah.

Letupan pertama berlaku pada pukul 8 pagi waktu tempatan, manakala letupan kedua berlaku 30 minit kemudian yang menyasarkan wartawan baru tiba di lokasi kejadian, kata jurucakap polis, Kabul Hashmat Stanikzai kepada AFP.

“Pengebom juga menyamar sebagai wartawan dan meletupkan diri di tengah-tengah orang ramai,” katanya.

Sumber keselamatan juga mengesahkan kedua-dua kejadian itu adalah serangan bom bunuh diri.

Bom pertama diletupkan penyerang bermotosikal menyebabkan empat maut dan lima cedera, menurut Kementerian Dalam Negeri Afghanistan.

Pusat Wartawan Afghanistan mengesahkan bahawa sembilan pengamal media termasuk wartawan, jurukamera dan jurugambar daripada syarikat berbeza terbunuh, manakala satu lagi cedera.

Jurugambar AFP, Shah Marai merupakan salah seorang daripada yang terbunuh.

Militan Daesh dilaporkan mengaku bertanggungjawab terhadap dua serangan tersebut.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani berkata, kerajaan kini berada di bawah tekanan kerana sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya yang telah lama tertangguh.

“Pasukan keselamatan sedang berusaha untuk meningkatkan kawalan bagi mengelakkan semakin ramai orang awam terkorban,” katanya. – AFP/Bernama