Serangan terkoordinasi itu menunjukkan kemelut dihadapi negara-negara Afrika Barat yang berdepan peningkatan insurgensi dilakukan anggota militan.

Kerajaan berkata, sera­ngan terhadap ibu pejabat tentera merupakan pengeboman kereta dan menyasarkan mesyuarat pasukan antipengganas serantau G5 Sahel yang dirancang.

Pegawai-pegawai dari Burkina Faso, Chad, Mali, Mauritania dan Nigeria berada di dalam mesyuarat mewakili negara G5 Sahel yang dilancarkan sebagai pasukan ketenteraan bersama untuk menentang militan di selatan Sahara.

Lapan anggota bersenjata terbunuh akibat letupan dan serangan sama di kedutaan Perancis pula menyebabkan 80 cedera, kata Menteri Keselamatan, Clement Sawadogo.

“Kenderaan tersebut dipenuhi dengan bahan le­tupan mengakibatkan letupan kuat,” kata Sawodogo.

Menurut sumber di Pe­rancis dan Afrika Barat memberitahu agensi berita AFP sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dalam serangan di ibu pejabat tentera sahaja.

Menurut saksi, serangan bermula apabila berlaku tembak-menembak di ibu negara Burkina Faso dan lima lelaki bersenjata keluar dari sebuah kereta lalu menembak orang ramai yang menuju ke kedutaan Perancis.

Pada masa sama, letupan bom berlaku di ibu pejabat tentera dan pusat kebudayaan Perancis kira-kira satu kilometer dari lokasi serangan pertama. – AFP