Laporan dalam jurnal Circulation mendapati, seramai 121.5 juta orang dewasa di AS menghidap penyakit kardiovaskular yang merangkumi penyakit jantung koronari, kegagalan jantung, strok dan tekanan darah tinggi pada tahun 2016.

Bermula tahun 2017, AHA dan Kolej Kardiologi Amerika mengemas kini bacaan tekanan darah tinggi daripada 140/90 milimeter (mm) merkuri (Hg) kepada 130/80 mm Hg.

“Sebagai salah satu faktor risiko paling ketara dan berbahaya untuk penyakit jantung dan strok, peningkatan tekanan darah tinggi tidak boleh diketepikan daripada persamaan dalam memerangi penyakit kardiovaskular,” kata Presiden sukarelawan AHA, Ivor Benjamin.

Penyakit jantung merupakan pembunuh utama di dunia selepas meragut 17.6 juta nyawa pada tahun 2016. Tahun 2015 pula menyaksikan seramai 17.9 juta orang yang meninggal dunia akibat penyakit jantung.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat merekodkan jumlah peningkatan kematian bagi tempoh sama membabitkan penyakit itu.

“Selapas beberapa dekad penurunan secara stabil di AS, kematian penyakit kardiovaskular kini makin meningkat iaitu daripada 836,546 orang pada 2015 kepada 840,678 pada 2016,” menurut laporan itu. – AFP