Langkah itu susulan letupan keganasan di kem-kem tersebut sejak beberapa minggu lalu. Kebanyakan pelarian di lokasi itu merupakan etnik minoriti Rohingya yang lari ke Bangladesh semasa tentera Myanmar melancarkan operasi di negeri Rakhine dua tahun lalu.

Pengendali-pengendali telekomunikasi diberi masa tujuh hari untuk menghantar laporan berhubung langkan yang diambil untuk menutup rangkaian telefon bimbit di kem-kem berkenaan, kata jurucakap Suruhanjaya Kawalan Telekomunikasi Bangladesh, Zakir Hossain Khan.

“Ramai pelarian menggunakan telefon pintar di kem-kem. Kami meminta pengendali untuk bertindak menghentikannya,” kata Zakir kepada agensi berita AFP sambil menambah, keputusan mengenainya dibuat kerana faktor keselamatan

Arahan itu mengejutkan pelarian Rohingya, kata salah seorang pemimpin mereka.

Katanya, larangan itu akan menjejaskan kehidupan pelarian Rohingya dan menghalang komunikasi antara kem-kem berlainan yang berselerakan dekat sempadan Myanmar di daerah Cox’s Bazar.

“Kami tidak dapat berkomunikasi dengan saudara-mara kami yang tinggal di Myanmar dan tempat-tempat lain di dunia,” kata pemimpin itu.

Ramai pelarian Rohingya, katanya, bergantung kepada wang yang dihantar oleh saudara-mara dan mereka menerima panggilan telefon memaklumkan pemindahan wang tersebut.

Bangladesh pada masa lalu cuba mengehadkan akses telefon bimbit kepada pelarian Rohingya. Bagaimanapun, langkah itu tidak dikuatkuasakan secara serius, menyebabkan penjualan set telefon bimbit dan Kad Nombor Pengenalan Peribadi (SIM) berkembang pesat di kem-kem pelarian.

Sementara itu, jurucakap polis, Ikbal Hossain menyambut baik keputusan tersebut dan berkata, pelarian Rohingya menyalahgunakan akses telefon bimbit untuk melakukan aktiviti jenayah se­perti menyeludup pil methamphetamine bernilai ratusan juta dolar dari Myanmar.