“Amerika Syarikat (AS) sepatutnya sedar bahawa sekatan dan tekanan tidak akan berhasil terhadap Korea Utara,” kata utusan khas Pyongyang, Han Tae Song pada Persidangan Pelucutan Senjata PBB di Geneva.

Komen itu diberikan selepas beberapa hari Presiden AS, Donald Trump mendedahkan mengenai rancangan untuk mengenakan ‘sekatan paling berat’ terhadap Korea Utara.

Pentadbiran Trump bagaimanapun mengesahkan bahawa sekatan baharu itu sebenarnya menyasarkan kapal-kapal yang melanggar arahan sekatan oleh PBB dengan menyeludup minyak dan arang batu ke Korea Utara.

Diplomat Korea Utara berulang kali membidas pegawai-pegawai AS di badan pelucutan senjata di Geneva yang menjadi lokasi dua musuh ketat itu berhujah secara berdepan.

“Sekiranya AS tidak mempedulikan usaha murni kami untuk memperbaiki hubungan antara Korea, tetapi lebih gemar melakukan provokasi dan konfrontasi, DPRK akan bertindak balas,” kata Tae Song yang menggunakan akronim Republik Demokratik Rakyat Korea.

Walaupun jelas kelihatan ketegangan antara Seoul dan Pyongyang dapat diredakan ketika ‘Olimpik keamanan’ di bandar raya Pyeongchang di Korea Selatan, Trump berjanji untuk terus mengekal tekanan ke atas Korea Utara.

Dia memberi amaran sekiranya sekatan terkini tidak berfungsi, ‘kami perlu pergi ke fasa dua. Fasa dua mungkin satu perkara yang sangat kasar’.

Duta pelucutan senjata Wa­shington kelmarin mengulangi desakannya bahawa AS tidak akan menerima Korea Utara sebagai sebuah negara kuasa nuklear.

“Ia tidak akan berlaku,” kata Robert Wood membalas ugutan Tae Song. – AFP